KONSEP 1 MALAYSIA DARI JENDELA ISLAM

Konsep Satu Malaysia yang dijelaskan oleh YAB Datuk Seri Najib, antara lain bermaksud, “Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One people. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita”( Datuk Seri Najib, Utusan Malaysia, 16 April 2009)




Yang menjadi fokus dalam kertas ini ialah fakta yang terkandung di dalam kata-kata “kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita”.



Ungkapan ini membawa mesej bahawa melalui konsep Satu Malaysia, kerajaan menyatakan komitmennya untuk melayani dan menjaga kebajikan semua warganegara tanpa mengira agama dan bangsa.



Justeru, kertas ini akan cuba melihat sejauh mana keselarasan komitmen kerajaan ini dengan ajaran dan prinsip-prinsip agama-agama utama di Malaysia iaitu Islam, Hindu dan Buddha.





1. SATU MALAYSIA DARI PERSPEKTIF ISLAM



Keselarasan konsep Satu Malaysia dengan ajaran Islam boleh dilihat dan ditinjau melalui aspek-aspek berikut :



i. Ciri-ciri ajaran Islam

ii. Objektif penurunan syariat Islam

iii. Kedudukan manusia pada pandangan Islam

iv. Perlembagaan hubungan antara orang Islam dan bukan Islam



A. CIRI-CIRI AGAMA ISLAM



Agama Islam memiliki beberapa sifat dan ciri-ciri tertentu yang membezakannya dengan agama atau ideologi lain. Antara ciri-ciri Islam ialah insaniyyah (kemanusiaan). Antara maksud insaniyyah ialah syariat Islam menghormati manusia, memelihara kemuliaan dan hak-hak manusia (Lihat Qaradhawi, Yusuf, al-Thaqafah al-’Arabiyyah al-Islamiyyah (2001), Beirut : Muassasah al-Risalah, hlm. 28).



Manusia secara jelas dimuliakan oleh Islam seperti yang dinyatakan oleh firman Allah yang bermaksud, “Dan sesungguhnya kami telah memuliakan bani Adam(al-Isra’ : ayat 70). Mereka dimuliakan di atas dasar mereka adalah manusia, tanpa melihat kepada keturunan, warna kulit, bahasa, tanahair, kedudukan dan agama(Al-Qaradhawi (2001) op.cit, hlm. 29).



Prinsip kemuliaan manusia yang dipasakkan oleh ajaran Islam ini bukan sekadar teori. Ia dipamerkan sendiri oleh Nabi Muhamamd s.a.w dalam amalan dan perbuatan Baginda s.a.w, serta menjadi ikutan umat Islam selepas Baginda s.a.w.



Antara contoh praktikal yang ditunjukkan Nabi s.a.w ialah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a. Beliau menceritakan, “Ada satu jenazah [diusung] melintasi Nabi s.a.w, lantas baginda s.a.w bangun dan berdiri [sebagai menghormatinya], lantas dikatakan kepada Baginda, ”Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia adalah jenazah seorang yahudi!”. Baginda menjawab, ”bukankah ia jiwa [yang bernyawa]?”(hadis riwayat Bukhari).



Mengambil semangat daripada kemuliaan manusia ini, umat Islam sepanjang zaman tidak menzalimi bukan Islam yang berada dalam negara Islam dan berlaku adil ke atas mereka. Tiada bukti yang lebih jelas bagi hakikat ini selain daripada perakuan yang diberikan oleh sarjana-sarjana bukan Islam seperti Gustave Le Bon, seorang sarjana Perancis.



Dalam bukunya, Arabic Civilization, beliau mencatatkan,



“toleransi Muhammad [s.a.w] terhadap orang-orang Yahudi dan Kristian sangat tinggi dan [toleransi sebegitu tinggi] tidak pernah dilakukan oleh pengasas-pengasas agama yang lahir sebelumnya, seperti agama Yahudi dan Kristian. Kita [juga] dapat melihat bagaimana pemimpin-pemimpin selepasnya mengikuti jejak langkahnya [dalam soal ini]. Sesetengah sarjana Eropah yang ragu-ragu [tentang keindahan Islam] atau yang mempercayai [keelokan Islam] mengakui toleransi tersebut”(hlm. 128).





B. OBJEKTIF PENURUNAN SYARIAT ISLAM



Ajaran Islam diturunkan oleh Allah kepada manusia melalui Nabi Muhamamd s.a.w bagi mencapai beberapa objektif, antaranya menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman(Yusuf Ahmad Muhammad al-Badawi, Maqasid al-Syariah Inda al-Imam Ibn Taimiyyah (2000), Jordan : Dar al-Nafais, hlm. 276).



Al-Quran dengan jelas menyatakan, antara tujuan diturunkan syariat Islam ialah menegakkan keadilan. Firman Allah, “Demi sesungguhnya, kami telah mengutuskan rasul-rasul kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan kami teleh menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menegakkan keadilan”(Al-Hadid : ayat 25).



Sejajar dengan itu, Allah memerintahkan umat Islam amnya dan para pemimpin mereka khasnya, agar memerintah dengan adil, tanpa mengira agama dan bangsa rakyat yang diperintah.



Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya [yang berhak menerimanya], dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, [Allah menyuruh] kamu menghukum dengan adil”(al-Nusa’ : ayat 58). Sabda Nabi s.a.w, “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya”(Muttafaq ’alaih).



Bergerak seiring dengan prinsip keadilan ini, Islam mewajibkan para pemimpin Islam berlaku adil ke atas warganegara bukan Islam yang menetap dalam negara Islam.



Bukan sekadar itu sahaja, bahkan Nabi s.a.w memberi amaran keras kepada pemimpin Islam dan umat Islam yang menzalimi warganegara bukan Islam yang mendiami negara Islam. Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang menyakiti orang zimmi(Zimmi ialah nama yang digunakan bagi merujuk kepada bukan Islam yang menjadi warganegara negara Islam), maka sesungguhnya dia telah menyakitiku, dan sesiapa yang menyakitiku, sesungguhnya dia telah menyakiti Allah”( Hadis riwayat at-Tabarani dalam al-Awsat dengan sanad hasan).



Sabda Nabi s.a.w lagi, “Sesiapa yang membunuh mu’ahid(Menurut Ibn Athir, perkataan mu’ahid banyak digunakan bagi merujuk kepada orang zimmi. Kadang-kadangia juga digunakanbagi merujuk kepada bukan Islam yang berdamai dengan orang Islam. Lihat Al-Qaradhawi, Yusuf, Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama’ al-Islami (1994), Beirut : Muassasah al-Risalah, hlm. 12), tidak akan dapat mencium bau syurga, meskipun baunya dapat dihidu dari jarak perjalanan 40 tahun”( Hadis riwayat Bukhari dan Ahmad).



Keadilan Islam terhadap bukan Islam begitu terserlah apabila Islam menghormati apa yang dianggap harta bernilai oleh bukan Islam, meskipun pada pandangan Islam ia adalah benda keji.



Dengan sebab itu, sesiapa yang merosakkan arak atau babi milik orang Islam, individu tersebut tidak dikena sebarang denda atau hukuman. Bahkan pada pandangan Islam, individu ini beroleh pahala. Tetapi, jika arak dan babi itu milik rakyat bukan Islam, orang yang merosakkannya diwajibkan membayar gantirugi (Al-Qaradhawi (1994), op.cit, hlm. 15 ).



Menyedari amaran keras Rasulullah s.a.w ini, umat Islam sepanjang zaman mengambil berat tentang rakyat bukan Islam. Sehinggakan ada ulama yang berpendapat, menzalimi bukan Islam dalam negara Islam, lebih besar dosanya daripada menzalimi orang Islam (Ibid, hlm. 11)



Selain daripada objektif yang dinyatakan di atas, Islam juga diturunkan bagi membawa rahmat kepada manusia sejagat sebagaimana yang difirmankan Allah, “Dan tidaklah kami mengutuskan mu [wahai Muhamamd s.a.w] melainkan bagi menjadi rahmat kepada seluruh alam”(Surah al-Anbiya’, ayat 107). Sehubungan itu, Islam tidak menzalimi bukan Islam dan berlaku adil ke atas mereka.





C. MANUSIA PADA PANDANGAN ISLAM



Pada kaca mata Islam, manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah sebagaimana firmanNya, “Dan sesungguhnya kami telah memuliakan bani Adam” (Surah al-Isra’, ayat 70). Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, manusia dimuliakan kerana kemanusiaannya, bukan kerana unsur luaran yang lain.



Disamping mereka makhluk yang dimuliakan Allah, manusia juga berasal daripada seorang bapa dan seorang ibu iaitu Nabi Adam a.s dan Hawwa. Menegaskan hal ini, Allah berfirman, “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki(yakni Adam) dan perempuan (Hawwa)”( Surah al-Hujurat, ayat 13).



Pemikiran bahawa manusia adalah makhluk yang dimuliakan Allah dan mereka semua-tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan-berasal dari satu keturunan, akan membentuk sikap toleransi dan berlaku adil sesama manusia sejagat.











D. PERLEMBAGAAN HUBUNGAN ANTARA ORANG ISLAM DAN BUKAN ISLAM



Asas atau perlembagaan yang diletakkan Islam dalam mengatur hubungan antara orang Islam dan bukan Islam ialah firman Allah : “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama [kamu] dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama [kamu] dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu [orang lain] untuk mengusir kamu. Dan ingatlah, sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8&9).



Umat Islam dituntut berbuat baik dan berlaku adil kepada bukan Islam meskipun mereka orang-orang yang mengkufuri agama Islam selama mana mereka tidak menentangnya dan memerangi pendakwahnya atau menindas pengikutnya (Al-Qaradhawi (1994), op.cit, hlm. 5-6)



Justeru, segala tindak tanduk pemimpin Islam wajib tertakluk kepada perlembagaan atau asas yang dinyatakan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

EDISI GEMPAR (KEMASKINI) : SULTAN BRUNEI CERAIKAN AZRINAZ MAZHAR DENGAN TALAK SATU

Di Sebalik Misteri Kepulangan Sukma Darmawan Ke Indonesia (dipetik daripada Blog AIDC)

BENTUK-BENTUK ANCAMAN TERHADAP KESELAMATAN MAKLUMAT KERAJAAN. PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB PENJAWAT AWAM BAGI MENANGANI ANCAMAN