MALAYSIA DENGAN CARANYA TERSENDIRI
Di Malaysia soal-soal mengenai perisikan adalah sesuatu yang bersifat rahsia. Tidak ada penulisan meluas mengenainya seperti di Amerika Syarikat (AS) atau sesetengah negara lain di mana kewujudan institusi risik adalah sesuatu rahsia umum. Di AS misalnya kita mengetahui tentang kewujudan Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk perisikan luar negara, Bahagian Risik Balas Luar (FCI), Biro Siasatan Persekutuan (FBI) untuk membanteras perisikan asing di peringkat domestik, Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) bagi perisikan semboyan dan elektronik, Pejabat Peninjauan Kebangsaan (NRO) untuk risikan menggunakan satelit dan Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) untuk risikan bersifat taktikal ketenteraan.
Namun daripada pemerhatian sepintas lalu mengenai pelbagai institusi yang mempunyai fungsi perisikan terang-terangan atau tersembunyi sama ada Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi risik keselamatan domestik; Bahagian Staf Perisikan Pertahanan serta formasi risik Tentera Darat, TLDM dan TUDM bagi risik strategik dan taktikal; Wisma Putra, Bahagian Keselamatan Negara (BKN/penyelarasan) Jabatan Perdana Menteri dan Bahagian Penyelidikan juga di JPM kita dapat mengetahui sedikit sebanyak mengenai struktur perisikan negara.
Dalam menghadapi ancaman bentuk baru keganasan pasca Sauk, Sipadan dan WTC saya berpendapat struktur perisikan negara perlu dirombak. Satu badan khas bagi perisikan luar negara perlu ditubuhkan bagi mengumpul dan menganalisis maklumat, mencadang opsyen dan menjangka trend kepada penggubal dasar di samping mengesan dan mencegah sebarang ancaman kepada keselamatan negara. Ia hendaklah sebuah entiti awam bukannya ketenteraan. Bagi memastikan keberkesanannya ia hendaklah ditubuhkan melalui satu Akta Parlimen, dan bertanggungjawab terus kepada Perdana Menteri.
Pengambilan keanggotaan bagi permulaan haruslah meluas daripada semua kalangan termasuk tentera, polis, ahli linguistik, an tropologis, ahli psikologi, pegawai PTD, ahli akademik, wartawan, saintis dan orang awam. Ini bagi memastikan terdapat kajian yang bersifat pelbagai dimensi bukannya eka dimensi.
Selain fungsi pengumpulan dan penganalisisan, badan ini juga harus mempunyai kemampuan untuk melakukan operasi keselamatan di luar dari sempadan negara Malaysia bagi mencegah awal sebarang bentuk ancaman keselamatan sama ada kepada kepentingan negara atau keselamatan rakyat kita.
Ini penting kerana salah satu kritik terhadap CIA pasca kejadian di New York dan Washington D.C ialah ia tidak distrukturkan bagi menjalankan operasi khas antipengganas di luar negara, oleh itu walaupun ia mampu mengesan ancaman tetapi opsyen tindakannya terhad.
Oleh itu apabila AS bertindak balas kepada apa yang mereka sifatkan sebagai pengganas, mereka menggunakan kuasa ketenteraan seperti yang berlaku apabila mereka mengebom Libya pada tahun 1986 dan apabila Bill Clinton melancarkan peluru berpandu ke Afghanistan dan Sudan pada tahun 1998. Ia terbukti tidak berkesan dan mendatangkan masalah lebih besar apabila pengganas tidak dapat dihapuskan.
Kita bukannya kuasa ketenteraan besar jadi kita tidak mampu berbuat demikian oleh itu badan perisikan yang ingin kita tubuhkan harus mempunyai kemampuan melakukan operasi khas yang membolehkan mereka meneutralkan sebarang ancaman keselamatan kepada negara dan rakyat, sama ada oleh individu pengganas atau kumpulan pengganas sebelum mereka sempat masuk ke dalam sempadan negara bagi berbuat onar.
Kedua-dua elemen risikan yang berasaskan manusia dan teknologi perlu diberi perhatian kerana kegagalan CIA menghidu rancangan pengganas yang mengakibatkan peristiwa 11 September adalah kerana terlalu bergantung kepada risikan berasaskan teknologi bukannya manusia. Bagi risikan berasaskan manusia, ia tidak harus bergantung kepada mereka yang mempunyai status rasmi seperti pegawai kedutaan yang mempunyai immuniti politik tetapi ia perlu lebih kepada mereka yang mempunyai samaran tidak rasmi (NOC) yang tidak mempunyai taraf diplomatik.
Bagi risikan domestik, saya juga mencadangkan satu entiti awam ditubuhkan yang mungkin boleh dinamakan Biro Keselamatan Dalam Negara. Seperti entiti risikan luar yang dicadangkan, ia hendaklah juga entiti awam yang ditubuhkan melalui Akta Parlimen dan bertanggungjawab terus kepada Perdana Menteri. Badan ini hendaklah bertanggungjawab dalam bidang perisikan keselamatan domestik dan kegiatan risik balas terhadap risikan asing. Bagi membolehkan entiti ini lebih berkesan, kuasa penangkapan dan penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh dipindahkan daripada PDRM kepada entiti ini. Sebagai nukleusnya Cawangan Khas PDRM boleh menjadi asas kepada pembentukan badan ini dan PDRM menumpukan kepada risikan jenayah.
Namun kita boleh juga mengikut model United Kingdom di mana walaupun Perkhidmatan Keselamatan (MI5) mempunyai kuasa pemantauan tetapi kuasa penangkapan diberikan kepada Cawangan Khas Polis Metropolitan atau kita boleh berdasarkan model FBI yang mempunyai kuasa penahanan dan pemantauan.
Kita harus menyediakan payung sebelum hujan, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian padah jawabnya. Oleh itu kita harus bergerak pantas bagi menstrukturkan semula mekanisme perisikan kita agar dapat menghadapi ancaman semasa. -
MAZRI MUHAMMAD
Subang Jaya, Selangor.
Ulasan
Catat Ulasan